Tuesday, August 28, 2018

ADAKAH MELAYU ITU PENDATANG DI SABAH DAN SARAWAK (BORNEO)?

Kekeliruan memahami istilah Melayu dan rumpun Melayu adalah antara sebab mengapa timbulnya anggapan ini. Sebelum perbahasan menjadi meleret, perlu ada fokus, iaitu menyelesaikan masalah takrif Melayu dan rumpun itu dulu.

Ada sebilangan etnik lain di Sabah dan Sarawak tidak suka dikaitkan dengan Melayu sebab menggunakan bahasa yang berlainan. Apabila dikatakan Sabah dan Sarawak itu Tanah Melayu juga, ada yang marah malah mengatakan Melayu itu pendatang. Sebelum menyelesaikan isu Melayu itu pendatang atau tidak, kita fokuskan dulu kenapa rantau ini dikenali sebagai rantau Melayu sejak dari dulu.



Rujukan:
1.https://www.bharian.com.my/node/41009    http://plm.org.my/wrdp1/?p=3548

   Asal usul Melayu

2.  https://www.thepatriots.asia/bagaimana-orang-melayu-mendapat-namanya/

3.  https://www.thepatriots.asia/kognat-bahasa-austronesia-satu-perbandingan-yang-luas/

4.  https://www.academia.edu/30250812/Karl_Anderbeck_-_The_Malayic-speaking_Orang_Laut_Dialects_and_directions_for_research?auto=download

5. https://www.facebook.com/notes/kelab-melayu-pulau-pinang/asal-usul-bangsa-melayu/10151646777777408/

6. http://art-mohamad.blogspot.com/2018/01/mencari-melayu-di-filipina.html

7. https://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu_di_Filipina

8. https://www.thepatriots.asia/orang-melayu-juga-pribumi-di-borneo-kritikan-ke-atas-vlogger-adamshammil/


9.

Monday, October 16, 2017

Sejarah Kota Tinggi (8 Kota Lama Johor)

Sejarah Kota Tinggi dan perkembangannya dicatatkan bermula dari tahun 1529, iaitu sejak daerah ini mula diteroka oleh Sultan Alauddin Riayat Syah II, pengasas kerajaan Johor yang memerintah dari tahun 1528 hingga 1564. Lokasi pertama yang diterokai baginda dan dijadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor Lama adalah di Pekan Tua/ Pasir Raja (Kampung Sungai Telor sekarang).








Nama Kota Tinggi mengambil sempena pembinaan lapan buah kota pertahanan oleh sultan-sultan Johor sepanjang persisiran Sungai Johor, iaitu

1.  Kota Kara            (1529)
2.  Kota Sayong        (1536)
3.  Kota Batu             (1540)
4.  Kota Seluyut        (1564)
5.  Kota Batu Sawar  (1587)
6.  Kota Touhid         (1623)
7.  Kota Tinggi          (1685)
8.  Kota Panchor         (1716)

Sejarawan tempatan bersetuju bahawa dengan mengambil nama sempena pembinaan 'Kota-kota' pertahanan yang semuanya terletak di 'Tanah Tinggi' itu membuatkan nama Kota Tinggi tersurat sebagai nama daerah ini sehingga sekarang.




1.  Kota Kara            (1529)

Dari Pahang Sultan Mahmud Shah l dan Sultan Ahmad beserta para peembesar telah berpindah ke Pulau Bintan , membuka penempatan , membina istana dan kota dinamakan "Kota Kara".

Sewaktu dalam di Bintan, Sultan Mahmud dan para pengikutnya telah membina sejenis pertahanan yang dinamakan Kota Kara. Ianya dipercayai adalah sejenis kubu pertahanan sementara yang dibina dalam keadaan perang. Ia dibina daripada pancangan kayu-kayu keras ataupun mampatan tanah dan batu. 










Armada Portugis yang dipimpin oleh Admiral Mascarenhas dengan 20 buah kapal membawa 550 orang Portugis dan 600 orang Melayu telah berjaya memyerang Kota Kara yang dipertahankan oleh orang-orang Sultan Mahmud di bawah Sang Setia dan Laksamana Hang Nadim pada 23 Oktober 1526.  Menurut RO Winstedt, armada Portugis memerlukan  empat belas hari sebelum Kota itu dapat dilumpuhkan.



2.  Kota Sayong        (1536)





Makam Kota Sayong terletak kira-kira 7 km dari Bandar Tenggara. Makam Kota Sayong bermula dari Kota Sayong yang menjadi pusat pemerintahan  yang ketiga antara tahun 1535-1540.

Pada tahun 1535, Armada Portugis di bawah pimpinan Estavo De Gama telah menyerang Pekan Tua dan baginda terpaksa berundur ke Sayong. Semenjak itu, Sultan Alauddin Riayat Shah menjadikan Sayong sebagai Pusat Pentadbiran.

Pada tahun 1536, Portugis menyerang Kota Sayong dan berakhir dengan pemetrian Perjanjian Damai di antara kedua-dua belah pihak. Selepas Sultan Alauddin berjaya menawan Aru dan Acheh pada tahun 1540,  baginda telah meninggalkan Kota Sayong dan memindahkan semula pusat pemerintahannya ke Kota Batu (Kota Tua-Johor Lama).

 Lagenda Badang Kota Sayong


Di sinilah permulaan kawasan kehidupan lagenda seorang manusia yang mempunyai kekuatan luar biasa, iaitu 'Badang' yang memakan muntah hantu air yang kerapkali mencuri ikan-ikan di dalam lukah atau perangkap ikan yang dipasang oleh Badang di sekitar kawasan Sungai Sayong . Badang dilahirkan di Sayong Pinang, bukannya yang diketahui  telah lahir di Singapura atau Temasik. Badang telah ditentang oleh Seri Wira Kerma dari Temasik kerana mengetahui Badang memiliki keluarbiasaan yang aneh.

Badang telah ditentang oleh Raja Kalinga 1 dari India yang menghantar ahli gusti untuk bertarung, bernama Nadi Bijaya Pikrama dan Benderang. Selepas kemenangannya itu, Badang telah berpindah ke Temasik sehingga dia meninggal dunia.



3.  Kota Batu             (1540)

Ianya terletak di atas tebing muara Sungai Johor di kawasan Teluk Sengat. Iaitu kira-kira 30 km dari bandar Kota Tinggi. Di sinilah pada suatu masa dahulu (1540) terletaknya sebuah kota yang diberi nama Kota Batu.




Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor ke dua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak ditepi Sungai Johor. Baginda telah membina sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudiannya ditambak dengan tanah. Dengan terbinanya kota ini, kerajaan Johor menjadi sebuah negeri yang kuat hingga mematahkan serangan Acheh beberapa kali. Sultan Alaudin Riayat Shah II akhirnya tewas juga ditangan Acheh di bawah Sultan Alaudin Riayat Shah Al-Qahhar di dalam satu peperangan yang sengit. Kota Johor

Kota ini dijadikan sebagai pusat pentadbiran negeri Johor. Ianya juga menjadi pusat perdagangan penting dan mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1574-1587) sehinggakan pelabuhan Melaka yang dikuasai Portugis ketika itu terjejas. Ini antara punca kota ini diserang dan dimusnahkan oleh Portugis.




4.  Kota Seluyut        (1564)

Di Kota Seluyut terdapat makam Sultan Muzaffar Shah, makam Bendahara Tun Isap Misai dan juga merupakan tempat kelahiran Tun Seri Lanang.

Bukit Seluyut pernah menjadi Pusat Pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1564-1570) iaitu Sultan Johor ketiga. Di sinilah juga Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang iaitu pengarang buku Sejarah Melayu dilahirkan. Istana sultan dibina di atas Bukit Seluyut yang tingginya kira-kira 204 kaki dengan tujuan supaya mudah mengawasi pergerakan kapal di Sungai Johor.

Pusat pemerintahan di Bukit Seluyut hanya bertahan selama tujuh tahun sahaja kerana Sultan Ali Jalla iaitu Sultan Johor keempat telah memindahkan pusat pemerintahannya ke Tanah Putih.







5.  Kota Batu Sawar  (1587)

Pada 21 Julai 1587, angkatan Portugis yang diketuai Antonio de Noronha ke Johor membedil Kota Johor lama dan merampas harta. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berundur ke Batu Sawar pada tahun 1587. Pada tahun 1589, Batu Sawar diserang dan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II melarikan diri.

Apabila Portugis balik ke Melaka, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II datang semula ke Batu Sawar memulihkan kekuatan.  Pada tahun 1597, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II mangkat di Batu Sawar dan disebut "Marhum Batu Sawar".


Pada 7.5.1613, Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menyerang Batu Sawar, Johor. Serangan ini telah dilakukan kerana kerajaan Acheh tidak menyetujui persahabatan Johor dengan Portugis .

Angkatan Perang Acheh yang menyerang Batu Sawar dan telah berperang selama 29 hari sebelum berjaya menawannya. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama-sama adinda baginda, Raja Abdullah serta Bendahara Tun Seri Lanang telah ditawan dan dibawa ke negeri Acheh.


Setelah hampir satu tahun di Acheh, baginda telah dilepaskan balik ke negeri Johor setelah berjanji dengan Sultan Acheh akan membantu Acheh di dalam peperangan melawan orang-orang Belanda.



Dalam bulan November 1615, Sultan Iskandar Muda telah menghantar satu angkatan perang yang besar dan menyerang sekali lagi negeri Johor. Bandar Batu Sawar telah dimusnahkan. Sultan Alauddin telah dapat ditawan oleh askar-askar Aceh dan di bawa balik ke Acheh lalu dihukum bunuh.




6.  Kota Touhid         (1623) 
Kota Touhid pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor sebanyak dua kali iaitu  semasa   pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677) dan Sultan Abdul Jalil Riayat  Syah IV (1699-1718).
    
Sultan Abdul Jalil Syah III ialah sultan yang bertanggungjawab membuka Kota Touhid pada tahun 1623 dan memerintah di situ dari tahun 1623 hingga 1677.






7.  Kota Tinggi          (1685)
Dari segi sebutan, tarikh paling awal nama Kota Tinggi disebut adalah merujuk semasa zaman  pemerintahan Sultan Mahmud Syah II (1685-1699). Sementara itu, tarikh Sultan Mahmud Syah II  mula menjadikan Kota Tinggi sebagai pusat pemerintahan adalah pada tahun 1688, iaitu apabila  baginda dibawa berpindah dari Riau ke Kota Tinggi.

Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi".


8.  Kota Panchor         (1716)

Kota Panchor dipercayai dibina oleh Sultan Abdul Jalil IV, Kota ini terletak di atas tanah tinggi, terdapat kesan banteng lama disekeliling bukit yang mengadap arah sungai Johor. Warisan sejarah yang masih ada ialah makam Sultan Abdul Jalil dengan batu nesan Acheh, perigi lama dan bekas tapak istana.


Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke Riau dan menjadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor. Pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke tanah besar Johor dan bersemayam semula di Panchor. Sultan Abdul Jalil IV mempunyai istana di Makam Tauhid dan Johor Lama. Kota Johor Lama dibaiki dan digelar "Kota Lama".


 Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, pun begitu masih membenarkan Sultan Abdul Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah dan diberi jawatan Bendahara


 


Tetapi sejarawan tempatan bersetuju bahawa, nama Kota Tinggi paling awal atau pertama kali disebut adalah pada tahun 1688 oleh Sultan Mahmud Syah II.

Berdasarkan peristwa dan tarikh-tarikh itu (1528, 1623, dan 1688), tahun 1688 ialah tarikh yang wajar diterima sebagi tarikh Kota Tinggi dibuka dan lokasi berkenaan terletak dalam Kampung Makam.

Senarai Ibu Kota Johor Lama


rujukan

Sunday, October 15, 2017

TUN TEJA DAN ISTANA KAYU ARA DI BERTAM



Sultan Mahmud Shah (memerintah 1488-1528) merupakan Sultan Melaka ke-8 dan terakhir, ialah anak Paduka Sri Sultan Alauddin Riayat Shah. Baginda mempunyai beberapa orang isteri. Antaranya ialah

1) Tun Kecil, anak Tun Bendahara Melaka
2) Onang Kening, anak Raja Muhammad (dari Pahang)
3) Tun Fatimah (dari Pahang)
4) Tun Teja.

Tun Teja Ratna Benggala nama penuhnya, anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah, Sultan Pahang ketiga, sezaman dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka ke 8. Tun Teja dikatakan terlalu elok rupa parasnya dan menjadi sebutan orang-orang yang berdagang di Pahang.




Khabar kecantikan Tun Teja hingga ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang ketika itu telah pun kematian isterinya yang pertama, Tun Kecil. Baginda telah menghantar utusan peminangan ke Pahang namun ditolak oleh Bendahara Seri Amar Diraja. 

Hang Tuah telah membuat pakatan untuk membawa Tun Teja ke Melaka melalui jalan laut. Sesampai di Melaka, Tun Teja diarak dengan gajah ke balairung seri istana Melaka. Tun Teja terperanjat kerana dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah, walhal kedatangannya ke Melaka adalah untuk mengahwini Hang Tuah. Namun setelah diberi sirih jampi oleh Hang Tuah, Tun Teja melupakan Hang Tuah dan akhirnya mengahwini Sultan Melaka, manakala Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan Melaka dan dijadikan Laksamana.

Pada tahun 1511 Portugis menyerang Melaka. Oleh kerana serangan bertambah hebat, pembesar-pembesar telah menasihatkan Sultan Mahmud berpindah ke Istana hinggapnya iaitu istana Kayu Ara yang terletak di Lembah Bertam (Bertam Hulu). Padawaktu itu Sultan Mahmud thelah menyerahkan kerajaannya kepada anaknya Sultan Ahmad.

Ketika di Istana Kayu Ara, Tun Teja telah gering. Waktu itu serangan Portugis bertambah hebat dan berita Portugis hendak menyerang Bertam melalui sungai Melaka talah sampai kepada sultan. Sultan telah diminta mengundurkan diri ke Bentayan (Muar).

Pada waktu iru Tun Teja sangat gering, Sultan Mahmud telah memerintahkan orang-orangnya menyediakan tandu untuk menandu Tun Teja ke Bentayan. Dari Bertam Sultan Mahmud dan pengikut-pengikutnya telah bergerak ke Batu Hampar. Bersama-sama Sultan Mahmud ialah Seri Nara Diraja Tun Hamzah (Penasihat Raja) dan Sang Sura (Ketua Angkatan Perang). Selain dari itu ialah isteri-isteri, kaum kerabat diraja, pebesar-pembesar lain dan pengikut setianya. Dari Batu hampar mereka dipercayai, berundur memalui Bukit Katil, Duyung, Teluk Mas, Serkam, Umbai dan ke Merlimau. Sepanjang jalan merentas hutan dan denai mereka sampai di satu kawasan tidak jauh dari pantai.

Kemangkatan Tun Teja.

Mengikut sumber sejarah
“Setelah beberpa hari berjalan menuju ke Muar, pada pada satu tempat yang tidak jauh dari tepi pantai, lalu  dengan perintah Sultan Mahmud, angkatan itu berhenti disitu. Baginda menyuruh membuat tempat perhentian. Katabaginda kepada Sang Sura dan Seri Nara Diraja, berjaga- jagalah kita di sini sehari dua, beta rasa dinda beta Tun Teja harus telah sampai saatnya.”

Kawasan yang di maksudkan itu ialah kawasan Pengkalan Samak, Merlimau yang sekarang. Di kawasan inilah angkatan Sultan Mahmud singgah sebelum meneruskan perjalanannya ke Muar. Kawasan ini terletak berhanlir dengan laut. Dahulu kira-kira 20-30 meter sudah sampai ke tepi pantai. Kini pantai sudah jauh ke laut, kira-kira 100 meter dari Pengkalan Samak. Kampung ini disebut sebagai Kampung MENTEJA.


Saturday, October 14, 2017

SEJARAH AWAL KESULTANAN JOHOR

1. Sultan Mahmud Shah
Sultan Mahmud Shah (memerintah 1488-1511) (mangkat 1528) merupakan Sultan Melaka ke-8 dan terakhir, adalah putera kepada Sultan Alauddin Riayat Shah. Selepas kemangkatan ayahandanya pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah yang masih muda mewarisi Melaka. Selepas kematian Tun Perak pada tahun 1498, Tun Mutahir dilantik menjadi Bendahara Melaka yang baru.

Pada 1510, Sultan Mahmud Shah menyerahkan kuasa sementara pada puteranya, Sultan Ahmad Shah, Melaka. Selepas mengambil balik kuasa, baginda membunuh Tun Mutahir sekeluarga kerana termakan fitnah yang Tun Mutahir cuba merampas kuasa.

Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Sultan Mahmud Shah terpaksa berundur ke Bertam, Batu Hampar, Pagoh and seterusnya ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negara China.



.
Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura).


Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.

Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah berundur ke Kampar, Riau, Sumatera tetapi anakandanya, Tengku Alauddin Riayat Shah II tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. 

Seorang lagi anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Mudzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan baginda mengasaskan Kesultanan Perak pada tahun 1528. Sultan Ahmad Shah, Melaka pula telah dihukum bunuh kerana gagal menawan kembali Melaka.

2. Sultan Alauddin Riayat Shah II
Sultan Alauddin Riayat Shah II merupakan sultan Johor pertama yang memerintah pada 1528 hingga 1564. Nama asalnya adalah Raja Ali dan juga digelar sebagai Raja Alauddin. Baginda merupakan anakanda kepada Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir dari Kesultanan Melayu Melaka.

Pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II berpindah dan membuka Johor Lama. Baginda telah pergi ke Aru bagi membantu Ratu Aru dari ancaman Acheh. Pada tahun 1564, Sultan Alauddin al-Qahhar dari Aceh telah menawan Aru dan manghalau orang-orang Johor. Kemudian Sultan Acheh telah menyerang Johor Lama dari Aru. Sultan Alauddin Riayat Shah II telah ditawan dan dibawa ke Acheh dan dibunuh di sana dan dengan itu beliau disebut "Marhum Syahid di Acheh".

3. Sultan Muzaffar Shah II
Nama asalnya ialah Raja Muzafar atau Radin Bahar dan seterusnya bergelar Sultan Muzaffar Shah II apabila baginda menaiki tahta sebagai Sultan Johor ke-3 pada 1564-1570.

Sultan Muzaffar Shah II bersemayam di Johor Lama sebelum berpindah ke Seluyut pada tahun 1565. Baginda tidak suka Johor tunduk kepada Acheh. Pada tahun 1568, baginda menghantar tentera membantu Portugis sekaligus mengundang kemarahan Acheh. Pada tahun 1570, baginda mangkat di Seluyut disebut "Marhum Mangkat di Seluyut".

4. Sultan Abdul Jalil Shah I
Nama asal baginda adalah Raja Abdul Jalil dan bergelar Sultan Abdul Jalil Shah apabila menaiki tahta sebagai Sultan Johor ke 4 pada 1570-1571.

Sultan Abdul Jalil Shah I adalah anak saudara kepada Sultan Muzaffar Shah II, Sultan Johor ke 3. Baginda adalah putera Raja Omar atau Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II dan Raja Fatimah, adik Sultan Abdul Jalil Shah.

Ketika berusia 8 tahun baginda telah ditabalkan sebagai Sultan, melalui wasiat Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Abdul Jalil Shah I mangkat dengan tiba-tiba dan dipercayai mungkin diracun oleh Bendahara Tun Isap Misai (pembesar sultan). Beliau dikebumikan di Seluyut.

5. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
Nama asalnya ialah Raja Umar. Putera kepada Raja Ahmad bin Raja Muhammad, Terengganu. Baginda berasal dari Pahang.

Memerintah Kelantan sebagai Raja Kelantan daripada tahun 1565 sehingga tahun 1570. Menjadi Tengku Mahkota apabila anakdanya naik takhta sebagai Sultan Abdul Jalil Shah I pada tahun 1570, dan menjadi Sultan Johor apabila anakdanya mangkat pada tahun 1571. 

Pada asalnya pembesar ingin melantik Raja Abdullah, anak Sultan Muzaffar Shah II, Sultan Johor ke-2, tetapi dibantah oleh Raja Fatimah dan mahukan suaminya dilantik sebagai Sultan. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Bendahara.

Bergelar Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II apabila menaiki tahta sebagai Sultan Johor ke-5 pada 1571-1597.


6.  Sultan Alauddin Riayat Shah III
Nama asalnya ialah Raja Mansur dan bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah III apabila menaiki tahta sebagai Sultan Johor ke-6. Baginda adalah anakanda kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II, Sultan Johor ke-5 dan baginda bersemayam di Batu Sawar.

Selama 11 tahun Sultan Alauddin Riayat Shah III memerintah di Batu Sawar. Pada tahun 1608 Sultan Alauddin Riayat Shah III berpindah ke Pasir Raja, tetapi Batu Sawar masih berfungsi sebagai pusat pemerintahan. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja dengan Bendahara Tun Seri Lanang. Sultan Alauddin Riayat Shah III mangkat di Acheh pada tahun 1617.

7. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah
Nama asalnya ialah Raja Bongsu dan seterusnya bergelar Sultan Abdullah Ma'ayat Shah, Sultan Johor ke-7 dari 1615-1623  dan bersemayam di Batu Sawar ,Kota Tinggi, Johor.

Beliau adalah putera kepada Sultan Muzaffar Shah dan diangkat oleh Sultan Iskandar Muda, Acheh sebagai Sultan Johor ke7 bagi menggantikan Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor ke-6 yang dihukum bunuh oleh Sultan Iskandar Muda apabila Acheh menewaskan Johor pada tahun 1615. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah dikahwinkan dengan adinda Baginda.

Pada tahun 1618, Sultan Abdullah Ma'ayat Shah berpindah ke Lingga (Daik) dengan meminta bantuan Belanda dan Orang Laut untuk melawan Acheh. Kemudian Sultan Abdullah Ma'ayat Shah menceraikan istrinya yang juga adinda daripada Sultan Acheh Iskandar Muda.

Kejadian ini membuat murka Sultan Iskandar Muda, kerana adik baginda yang dicintainya diceraikan oleh Sultan Abdullah. Baginda memerintahkan pasukannya untuk menghancurkan Batu Sawar, ibukota daripada Kerajaan Johor Lama dan menyerang Pulau Lingga untuk memburu Raja Bujang (anak Sultan Alauddin Riayat Shah III) pada tahun 1623.

Sultan Abdullah Ma'ayat Shah melarikan diri bersama-sama Raja Bujang ke Pulau Tambelan. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah mangkat di Pulau Tambelan disebut "Marhum Pulau Tambelan".

8. Sultan Abdul Jalil Shah III
Nama asalnya ialah Raja Bujang dan seterusnya bergerlar Sultan Abdul Jalil Shah III apabila menaiki tahta sebagai Sultan Johor ke-8 dari 1623-1677. Beliau merupakan anak saudara kepada Sultan Abdullah Ma'ayat Shah, Sultan Johor ke7 dan putera kepada Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor ke-6. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah III menubuhkan Jemaah Orang Kaya.

Sultan Abdul Jalil Shah III kekal di Pasir Raja hingga 1673 sebelum bermusuhan dengan Jambi dan seterusnya meletusnya perang antara Jambi-Johor. Sultan Abdul Jalil Shah III melarikan diri ke Pahang dan bersemayam di Pahang selama empat tahun dan mangkat di Kuala Pahang disebut 'Marhum Mangkat di Pahang @ Marhum Besar"

9. Sultan Ibrahim Shah
Nama asalnya ialah Raja Ibrahim atau Putera Raja Bajau dan seterusnya bergelar Sultan Ibrahim Shah apabila menaiki tahta sebagai Sultan Johor ke-9 pada 1677-1685. Beliau merupakan anak Raja Banjau ibni Sultan Abdullah Ma'ayat Shah dilantik sebagai Sultan Pahang di Pahang pada 1677.

Pada 1678, Laksamana Tun Abdul Jamil mengajak Sultan Ibrahim Shah berpindah dari Pahang ke Riau. Sultan Ibrahim Shah cuba untuk membina semula Kota Johor Lama tetapi tidak kesampaian. Sultan Ibrahim Shah mangkat di Pulau Riau pada 1685 disebut 'Marhum Bongsu".

10. Sultan Mahmud Shah II
Sultan Mahmud Shah II (nama asalnya ialah Raja Mahmud) ialah Sultan Johor ke-10 (tahun pemerintahan dari 1685 - Ogos 1699). Baginda ditabalkan ketika berumur 10 tahun. Baginda Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1675. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530.

Kemuncak kezalimannya ialah membunuh isteri orang besarnya iaitu Megat Seri Rama. Isterinya, Dang Anum yang mengandung sarat itu mengidam buah nangka dalam taman diraja. Apabila baginda tahu akan kejadian itu, baginda dengan zalim atau kebodohannya telah membelah perut Dang Anum bagi melihat betulkah anak dalam kandungan yang mengidam buah nangka raja.

Megat Seri Rama (bergelar Laksamana Bentan) yang balik dari medan peperangan di Linggi atas perintah sultan itu telah dikhabarkan kematian tragis isteri kesayangannya. Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil dengan pembesar istana lainnya bersepakat untuk menghapuskan raja. Menurut adat Melayu, seseorang raja boleh diturunkan dari takhta apabila terbukti ia gila atau murtad. Mereka bersepakat dalam musyawarah yang telah diadakan secara tertutup untuk membunuh raja

Manakala Megat Seri Rama mengambil tugas berat untuk menderhaka dan ketika tepat waktunya sultan dijulang juak-juaknya ke masjid untuk sembahyang Jumaat, Megat Seri Rama pun membunuh Sultan yang dianggap gila itu lantas tragedi itu dikenali sebagai 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'. Kononnya sebelum mati, baginda sempat menyumpah pembunuhnya dan mengharamkan 7 keturunan Megat Seri Rama daripada menjejaki Johor lama itu.

Pada hari Jumaat, Ogos 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Megat Seri Rama. Akhirny,a baginda lebih dikenali sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi". Baginda dimakamkan di Kota Tinggi.

11. Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Abdul Jalil)
Sultan Abdul Jalil IV adalah Sultan Johor ke-11 pada 1699-1720. Sultan Abdul Jalil IV merupakan Sultan pertama dari keturunan Bendahara. Baginda adalah anakanda Tun Habib Abdul Majid iaitu Bendahara kepada Sultan Mahmud Shah II, Baginda juga ialah sepupu kepada Sultan Mahmud Shah II dari sebelah ibu kerana bonda kepada Sultan Mahmud Shah II, Marhum Bakal ialah adik kandung kepada Tun Habib Abdul Majid, iaitu bapa baginda. Baginda dimakamkan di Kuala Pahang dengan gelaran "Marhum Mangkat di Kuala Pahang".

Pada asalnya, baginda ialah Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil, dan baginda mengambil gelaran Sultan apabila baginda ditabalkan kerana Sultan Mahmud Shah II tiada meninggalkan waris. Sultan Abdul Jalil IV merupakan Sultan pertama dari keturunan Bendahara.

Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu, ini memberi peluang kepada Raja Kecil atau Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah untuk menyerang Johor.

Raja Kecil menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV dengan menuduh Sultan Abdul Jalil sedang merancang untuk membina kerajaan di Kuala Pahang dan disebut "Marhum Mangkat di Kuala Pahang". Baginda dimakamkan di Kuala Pahang.




Sultan-sultan Johor
Bilangan Sultan Pemerintahan
1 Sultan Mahmud Shah 1511 - 1528
2 Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Ali) 1528 - 1564
3 Sultan Muzaffar Shah II 1564 - 1579
4 Sultan Abdul Jalil Shah I 1579 - 1580
5 Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Raja Umar) 1581 - 1597
6 Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur) 1597 - 1615
7 Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (Raja Bongsu) 1615 - 1623
8 Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang) 1623 - 1677
9 Sultan Ibrahim Shah, Johor 1677 - 1685
10 Sultan Mahmud Shah II (Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) 1685 - 1699
11 Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Abdul Jalil) 1699 - 1720
12 Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil) 1718 - 1722
13 Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah 1722 - 1760
14 Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah 1760 - 1761
15 Sultan Ahmad Riayat Shah 1761 - 1761
16 Sultan Mahmud Shah III 1761 - 1812
17 Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah 1812 - 1819
18 Sultan Hussain Shah (Tengku Long) 1819 - 1835
19 Sultan Ali (Tengku Ali - Anak gahara terakhir) 1835 - 1877
20 Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim (Wangsa Temenggung - Keturunan bangsawan) 1855 - 1862
21 Sultan Abu Bakar 1862 - 1895
22 Sultan Ibrahim 1895 - 1959
23 Sultan Ismail 1959 - 1981
24 Sultan Iskandar 1981 - 2010
25 Sultan Ibrahim Ismail 2010 - sekarang