Ibnu Batutah
catat wilayah diperintah Sultan Mahmud Malik Zahir sebagai maju, pelabuhan
besar dan gemilang. KETIKA berada di China sekitar abad ke-14, pengembara Islam
terkenal, Ibnu Batutah terlihat satu bahtera asing berlabuh di pelabuhan negara
itu. Selepas diselidikinya, beliau dimaklumkan yang bahtera itu milik Sultan
Samudera Pasai. Kehadiran bahtera bersama wakil utusan Sultan Samudera Pasai ke
China adalah secara rutin berikutan kerajaan itu perlu menyerahkan ufti kepada
Kerajaan China mengikut senggang masa tertentu.
Seterusnya
beberapa tahun kemudian iaitu pada 1346, ketika dalam perjalanan merentas jalan
laut dari Tanah Arab ke China, Ibnu Batutah sempat mengunjungi Kerajaan
Samudera Pasai yang terletak di pinggir Selat Melaka (kini Wilayah Aceh).
Melihat keadaan
di negeri berkenaan, pengembara yang berasal dari Maghribi itu membuka helaian
kertas jurnal perjalanannya, mengambil pena dan mula mencatatkan pendapatnya
mengenai kerajaan berkenaan. Antara terjemahan catatannya berbunyi lebih kurang
begini: “Samudera Pasai adalah negeri nan hijau dan subur, rakyat dan alamnya
indah dan menawan, (ia) negeri yang menghijau dan kota pelabuhannya besar dan
indah.”
Ketibaan Ibnu Batutah
di negeri itu disambut baik Panglima Daulasah, Qadi Syarif Amir Sayyir
Al-Syirazi, Tajuddin Al-Asbahani dan beberapa ulama ahli fiqh di kerajaan
berkenaan atas perintah Sultan Mahmud Malik Zahir.
Ibnu Batutah
mencatat lagi dalam jurnalnya. Pada pandangannya, Sultan Mahmud adalah penganut
mazhab Syafie yang giat menyelenggarakan pengajian, perbahasan dan muzakarah
mengenai Islam sehingga menyebabkan Samudera Pasai menjadi pusat tumpuan
pengajian Islam ketika itu. Mengenai peribadi dan corak pemerintahan Sultan
berkenaan, beliau menulis:
“Sultan sangat
rendah hati dan berangkat ke masjid untuk solat Jumaat dengan berjalan kaki.
Selesai solat, Sultan dan rombongan mengelilingi kota untuk melihat keadaan
rakyatnya.”
Ibnu Batutah
berada di Samudera Pasai selama 15 hari. Sebelum berangkat meninggalkan wilayah
Nusantara itu, beliau sempat mengunjungi pedalaman Sumatera yang masih dihuni
masyarakat bukan Islam.
Di situ, beliau
menyaksikan beberapa perlakuan masyarakat yang mengerikan antaranya upacara bunuh
diri beramai-ramai yang dilakukan golongan hamba ketika pemimpinnya mati.
Demikianlah
antara beberapa catatan Ibnu Batutah mengenai Samudera Pasai, satu kerajaan
silam yang hebat serta wujud lebih 600 tahun lalu malah didirikan lebih awal
daripada Kerajaan Melaka.
Kini, Kerajaan
Samudera Pasai sudah tiada. Susur galur dan kehebatannya hanya dikenang lewat
catatan sejarah silam antaranya menerusi ‘Hikayat Raja-raja Pasai’ selain
penemuan pelbagai tinggalan arkeologi yang ditemui di Wilayah Aceh. Samudera
Pasai mencatat rekodnya tersendiri dalam sejarah Melayu kerana ia dianggap
Kerajaan Melayu pertama yang menerima Islam. Ketika Majapahit atau Srivijaya
masih berpegang kepada fahaman Hindu-Buddha, pemimpin dan rakyat Samudera Pasai
sudah mengucap dua kalimah syahadah dan mentauhidkan Allah SWT.
Detik pertukaran
daripada pengamalan ajaran Hindu-Buddha kepada Islam itu bermula sekitar 800
Masihi apabila sebuah kapal saudagar Islam dari Gujerat tiba di Bandar Perlak
(satu daripada kawasan di wilayah Aceh). Ketibaan kumpulan saudagar diketuai
Nakhoda Khalifah itu tidak saja untuk urusan perdagangan malah untuk menyebar
dakwah. Penerimaan baik penduduk tempatan terhadap dakwah Islamiah selain
perkahwinan campur antara gadis tempatan dengan saudagar Muslim menyebabkan
Islam mula tersebar ke seluruh wilayah Aceh dalam tempoh 40 tahun saja.
Manuskrip
mengenai Kerajaan Pasai
Seterusnya
Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai (satu lagi kerajaan yang wujud di wilayah
Aceh ketika itu) disatukan sehingga wujudnya Kerajaan Samudera Pasai. Sultan
pertamanya adalah Sultan Malik Al-Saleh dan baginda dikahwinkan dengan Puteri
Ganggang iaitu puteri pemerintah Perlak ketika itu, Sultan Makhdum Alaiddin
Malik Muhammad Amin Shah II Johan Berdaulat.
Di bawah
pemerintahan berasaskan tauhid kepada Allah itu, Samudera Pasai menjadi
Kerajaan Islam yang terkenal dan maju.
Kerajaan itu
menjadi tumpuan kunjungan saudagar daripada pelbagai negeri seperti China,
India, Siam, Arab dan Parsi malah angkatan dagangan Samudera Pasai turut
merentas laut untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan luar.
Selain menghantar ufti ke China, Sultan Pasai turut mengirimkan utusan ke
Quilon, India Barat pada 1282 Masihi.
Dagangan utama
di wilayah itu adalah lada. Kemajuan perdagangan yang dialami mereka
menyebabkan Samudera Pasai turut menghasilkan mata wang emas yang disebut
dirham dan mata wang itu digunakan secara rasmi oleh kerajaan mereka.
Selain
berkembang sebagai pusat perdagangan, Samudera Pasai turut menjadi pusat
perkembangan ilmu dan Islam. Ajaran Islam menerusi kitab bertulis Arab kemudian
mencetuskan penghasilan tulisan jawi yang akhirnya menjadi warisan budaya
Melayu.
Terhasilnya
tulisan jawi juga mencetuskan perkembangan sastera klasik Melayu antaranya
penghasilan kitab ‘Hikayat Raja-raja Pasai’ yang ditulis sekitar 1360.
Selaras dengan
itu juga, ilmu tasawuf turut berkembang apabila ada antara kitab tasawuf
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bertulisan jawi. Antaranya adalah Durru
al-Manzum, karya Maulana Abu Ishak.
Kegemilangan
Kerajaan Samudera Pasai dikatakan sama hebatnya dengan zaman kemasyhuran Melaka
di Tanah Melayu.Bagaimanapun, melewati masa, Samudera Pasai mula mengalami
kemunduran apabila Kerajaan Melaka diasaskan. Kehebatan kerajaan diasaskan
Paramesrawa itu menyebabkan pedagang mula beralih dari pelabuhan Samudera Pasai
ke Melaka.
Seterusnya pada
1360, Samudera Pasai diserang Majapahit dan akhirnya kerajaan hebat itu
ditakluki sekali gus menamatkan era kegemilangannya dalam rentetan sejarah
silam Nusantara, suatu ketika dulu.
Oleh Nasron Sira
Rahim
No comments:
Post a Comment